KERAJAAN Selangor bersetuju dengan permintaan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meminjamkan 500,000 dos vaksin Covid-19 yang dibelinya baru-baru ini bagi kegunaan negeri-negeri lain.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia dipersetujui kerana kerajaan negeri memahami kadar vaksinasi yang rendah di beberapa negeri.
Katanya lagi, dos tersebut akan dipulangkan sebagai persiapan untuk suntikan ‘booster’ yang masih dalam perancangan, dijangka dilaksanakan pada awal atau pertengahan tahun depan.
“Kita ada berbaki 500,000 dos di Selangor dan akan diserahkan kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sebagai pinjaman sebelum dipulangkan balik kepada kita.
“Dos-dos tersebut mungkin akan digunakan di beberapa negeri yang menunjukkan peningkatan tinggi.
“Saya sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang minta sokongan gunakan dos-dos kita dan kita setuju menyalurkan kepada CITF untuk dibawa ke negeri lain yang memerlukan,” katanya.
Amirudin berkata, kerajaan negeri juga bersedia menjual sebahagian dos-dos berkenaan kepada syarikat atau pihak swasta yang memerlukan di negeri-negeri tersebut. – Malaysiapost