AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman akan terus bersuara untuk mempertahankan hak aktivis muda yang ditahan polis kerana mengadakan protes di Dataran Merdeka di ibu negara malam tadi.
Syed Saddiq yang juga pengasas Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkata salah seorang daripada mereka yang ditahan adalah Nurul Rifayah, remaja berusia 18 tahun.
Katanya, sepanjang setahun mengenali Nurul Rifayah, beliau sangat kagum dengan keberanian dan keikhlasan remaja itu dalam perjuangannya.
“Baru berusia 18 tahun, dah macam-macam Rifayah lalui. Protes menuntut hak rakyat dah banyak Rifayah sertai. Ada juga yang Rifayah sendiri rancang dan anjur.
“Walaupun diugut dan ditekan, Rifayah berani sertai Muda pada usia 17 tahun dan saman kerajaan bagi menuntut hak orang muda mengundi.
“Rifayah dah berkali-kali ke Balai Polis untuk siasatan dan semalam, Rifayah diangkut naik Black Maria. Semua ini kerana Rifayah percaya perlu ada orang yang berani memperjuangkan suara orang tertindas,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Susulan itu, Syed Saddiq berkata jika Nurul Rifayah terus ditekan dan diugut disekat dari kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), beliau akan terus bersuara untuk hak remaja tersebut.
Terdahulu, seramai 31 ahli Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang berhimpun sambil membakar lilin dan memegang kain rentang putih pada program memperingati mereka yang gugur disebabkan pandemik Covid-19 dikompaun RM62,000.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellan Yahaya berkata tindakan diambil selepas Pasukan Pematuhan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mengesan mereka berhimpun di Dataran Merdeka pada 8 malam tadi.
Menurutnya, kesemua mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 itu terlebih dahulu dibawa ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan. – Malaysiapost