Syed Saddiq akan semak imbang kerajaan baharu
SEBAGAI Ahli Parlimen pembangkang, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan akan terus melaksanakan semak imbang atas setiap keputusan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri yang baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau akan terus membawa idea dasar dan polisi demi kepentingan rakyat.
“Saya akan teruskan kerja dan politik khidmat sebagai Ahli Parlimen Pembangkang.
“Sebagai Ahli Parlimen, tugas dan tanggungjawab hakiki saya adalah untuk terus membawa idea dasar dan polisi serta melaksanakan semak imbang ke atas setiap keputusan kerajaan untuk kebaikan rakyat.
“Paling penting, saya akan sentiasa menjunjung Keluhuran Perlembagaan untuk negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, kerajaan yang baharu dibentuk wajib bekerja keras untuk menangani krisis Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi negara.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri diatas perlantikan berkenaan.
“Ucapan tahniah kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri atas perlantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu.
“Patik menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Majlis Raja-Raja Melayu atas perkenan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk melantik YAB Perdana Menteri ke-9,” katanya. – Malaysiapost