PEGUAM mewakili pengasas Rumah Bonda menegaskan pertuduhan yang dikenakan terhadap Siti Bainun Ahd Razali Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, tiada kaitan sama sekali dengan pembuktian ‘penderaan’.
Berbanding penggunaan perkataan ‘penderaan’ secara meluas sebelum ini, peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor sebaliknya berkata ia hanyalah berkaitan dengan pengabaian atau “neglect”.
“Perkataan-perkataan yang mendakwa Cik Bainun (Siti Bainun) melakukan kesalahan penderaan adalah tidak tepat dari segi definisi undang-undang.
“Pihak kami memandang serius perkataan-perkataan sedemikian dan telah mendapat arahan dari Cik Bainun untuk mengambil tindakan perundangan sewajarnya kepada mana-mana individu yang menyebarkan penggunaan perkataan “penderaan/ pendera” sebelum ini dan pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Nur Aminahtul seterusnya berkata, Siti Bainun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan hari ini dan berhasrat untuk membersihkan nama beliau daripada pertuduhan yang dikemukakan melalui proses mahkamah.
Beliau menjelaskan, kenyataan media ini dikeluarkan bagi tujuan mengelak laporan atau interpretasi salah yang boleh mengelirukan dikeluarkan mana-mana media atas kes dipertuduhkan ke atas Siti Bainun.
Katanya, pihaknya dimaklumkan semalam bahawa telah tular di media sosial pelbagai kenyataan yang tidak benar berkaitan Siti Bainun atas pertuduhan yang bakal dikenakan kepada beliau.
“Maka, kami dengan rendah diri menegaskan di sini bahawa pada 18 Ogos 2021 kami telah dihubungi oleh pegawai penyiasat kes memaklumkan status siasatan dan pertuduhan ke atas Cik Bainun.
“Melalui perbualan yang disahkan sekali lagi pada 19 Ogos 2021, kami telah mendapat kepastian bahawa Cik Bainun akan dipertuduhkan di bawah Seksyen 31 (1) {a} Akta Kanak-kanak 2001 bagi satu kesalahan “PENGABAIAN”.
“Hari ini, pertuduhan telah dibacakan ke atas Ck Bainun dan bagi makluman semua, di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, kesalahan penganiayaaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak didefinisikan di bawah peruntukan sama.
“Namun pembuktiannya adalah tertakluk kepada pertuduhan yang dikenakan iaitu bagi Cik Bainun, satu pendakwaan di bawah kesalahan pengabaian secara spesifik,” katanya lagi.
Terdahulu Siti Bainun, 29, tidak mengaku bersalah atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Pengakuan itu dilafazkan Siti Bainun, 29, di hadapan Hakim Izralizam Sanusi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Siti Bainun didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, mengabaikan mangsa sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Irama Wangsa Kondominium, Seksyen 10, Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021. – Malaysiapost