“Wallahi tiada pembalakan” – MB Kedah
MENTERI Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor hari ini bersumpah bagi menafikan tiada aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Gunung Jerai yang dikaitkan sebagai punca tragedi kepala air di gunung itu, kelmarin.
Beliau berkata, punca sebenar kejadian kepala air terburuk itu disebabkan kadar taburan hujan lebat luar biasa di kawasan puncak gunung yang menyamai 10 peratus kadar hujan di negeri itu.
“(Aktiviti) pembalakan (di Gunung Jerai) Wallahi tidak ada. Takkan (saya) kena sumpah kot,” katanya memetik Utusan Malaysia selepas melawat mangsa banjir tersebut di Taman Lembah Merbok, Tupah hari ini.
Kenyataan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) hari ini mengesahkan berlaku taburan hujan luar biasa dalam tempoh singkat di sekitar kawasan puncak Gunung Jerai, Yan, Rabu lalu.
Pengesahan itu berdasarkan laporan kaji cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) yang mendapati terdapat hujan lebat luar biasa bermula kira-kira jam 2.30 petang.
Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Zainal Ujang berkata hujan ekstrem itu menyebabkan fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai dan banjir lumpur sehingga kedalaman 0.1 hingga 0.3 meter di daerah Kuala Muda dan 0.2 meter hingga 1.5 meter di daerah Yan.
Muhammad Sanusi berharap penjelasan KASA tersebut dapat diterima semua pihak, malah penduduk juga mengetahui tiada aktiviti pembalakan di kawasan Gunung Jerai.
“Ini kerana banyak dakwaan ‘ahli sains’, ‘kaji bumi’ dan ‘geologi’ berlegar di Facebook sekarang,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menolak dakwaan operasi kuari bijih besi dan kuari di Tupah dan Singkir, Yan turut menyumbang bencana banjir.
“Ia (operasi kuari bijih besi dan kuari) tidak mempunyai kaitan kerana lokasi kuari terletak di kaki gunung manakala kepala air turun dari Gunung Jerai.
“Jika sebab kuari, kenapa kawasan lain iaitu seperti di Perigi, Yan juga terkesan akibat kejadian tersebut,” tambahnya. – Malaysiapost