SEORANG wanita maut dilanggar tren transit aliran ringan (LRT) selepas dipercayai menceroboh kawasan trek di laluan LRT Ampang / Sri Petaling, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang tadi.
Susulan kejadian itu, berlaku gangguan perkhidmatan di laluan LRT Ampang / Sri Petaling dari Stesen LRT Sentul Timur ke Stesen LRT PWTC.
Dalam satu kenyataan media, Rapid KL mengesahkan mengenai kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Menurut Rapid KL, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk siasatan lanjut.
“Kami berasa sangat sedih di atas kejadian ini dan ingin memohon maaf kepada semua penumpang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dari kejadian ini disebabkan gangguan perkhidmatan,” demikian menurut kenyataan itu.
Syarikat itu turut meminta orang ramai berhenti berkongsi gambar kejadian itu bagi menghormati mangsa dan untuk mengelakkan spekulasi mengenai motif pencerobohan trek.
“Rapid KL akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan menyeluruh dilakukan.
“Pihak kami juga sedang memulakan kerja-kerja audit menyeluruh mengenai langkah-langkah keselamatan stesen kami untuk meminimumkan risiko kejadian seperti ini pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata hasil siasatan awal mendapati wanita berkenaan berjalan di atas tren yang tidak bergerak.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian dipercayai berlaku apabila wanita itu berjalan di atas tren yang tidak bergerak, sebelum duduk di besi penyambung gerabak.
“Mangsa dipercayai terjatuh apabila tren mula bergerak, sebelum digilis,” katanya.
Menurutnya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian. – Malaysiapost