Zahid, Najib ucap tahniah kepada PM9

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta ahli-ahli Umno seluruh negara mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Ahmad Zahid turut mengucapkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan melantik Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri yang baharu.

“Syukur Alhamdulillah…Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), turut membuat ucapan di laman Facebooknya mengenai pelantikan berkenaan.

“Selamat berkhidmat kepada YAB PM Ke-9 Malaysia,” katanya yang turut memuat naik gambar Ismail Sabri.

Turut mengucapkan tahniah adalah Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang berharap Perdana Menteri baharu dapat meneruskan usaha memerangi Covid-19.

“Tahniah YB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 selepas diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Semoga pelantikan ini Malaysia dapat meneruskan usaha-usaha memerangi Covid-19 demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara sebagaimana pandangan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Tidak ketinggalan mengucapkan tahniah adalah Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

“Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ismail Sabri Bin Yaakob di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

“Semoga Datuk Seri dapat menggalas amanah memacu pemulihan negara dari segala impak pandemik Covid-19. Semoga kepimpinan Datuk Seri membuka lembaran baru di dalam arena politik negara,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights