PERDANA Menteri ke-9 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan Istana Negara, Kuala Lumpur kira-kira jam 3.25 petang ini.
Beliau dilihat melambaikan tangan kepada pengamal media sebaik sahaja kenderaan yang membawanya melepasi pintu satu keluar meninggalkan Istana Negara.
Terdahulu Naib Presiden Umno itu telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Ismail Sabri, 61, adalah Ahli Parlimen ketiga mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Malaysiapost