BN harap pelantikan Ismail Sabri bawa ‘sinar’ buat Malaysia

DEWAN Tertinggi BN berharap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 akan membawa sinar kebaikan buat Malaysia dan rakyat.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata parti itu menjunjung kasih Ke bawah Yang di-Pertuan Agong atas perkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu.

“Semoga dengan pelantikan Ismail Sabri akan memperkasa tradisi BN membela rakyat dan memakmurkan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata, Dewan Tertinggi BN juga yakin dengan pengalaman beliau dan didukungi oleh parti yang mempunyai rekod perkhidmatan luas serta panjang, Ismail Sabri mampu untuk mendepani cabaran mengembalikan citra Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif.

“Sehubungan itu, Dewan Tertinggi BN menyeru semua pihak khususnya seluruh kepimpinan BN untuk memberikan sokongan dan bersatu hati bagi memastikan BN dapat terus memberikan khidmat baki terbaik buat rakyat .

“Mudah-mudahan dengan pelantikan Ismail Sabri, akan membawa sinar kebaikan buat Malaysia dan rakyatnya,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights