PENDAKWAH bebas Ebit Lew menziarahi rumah bekas imam berusia 90 tahun yang masih tidak dijumpai selepas dihanyutkan arus deras dalam tragedi banjir besar di Yan, Kedah Rabu lalu.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, Ebit memberitahu warga emas yang juga bekas imam itu sudah uzur dan tidak boleh bangun menguruskan diri sendiri.
“Beri sedikit kata semangat dan doa serta sedikit sumbangan buat isterinya dan ahli keluarga. Sayu dengar Imam ini tak boleh bangun. Keluarga yang mandikan dan uruskannya.
“Rumah ni masih selamat asbab Allah lindung dengan pokok besar. Jika tak langsung tiada tempat berpaut dan lain-lain,” katanya.
Lebih menyedihkan apabila Ebit berkata semasa kejadian banjir tersebut anak-anak kecil dan cucu kepada warga emas itu hanya bersangkut pada dahan pokok bagi mengelakkan dibawa arus deras.
“Semoga Allah beri pahala syahid buatnya. Allah beri kekuatan buat ahli keluarganya. Semoga Allah beri ketabahan buat penduduk disini.
“Kami bersama Masjid Jamek Yan dan Masjid disini. Terima kasih ajk masjid di Yan. Terima kasih pihak kerajaan dan semua NGO dan penduduk kampung yang saling bantu membantu,” katanya.
Terdahulu, taburan hujan lebat luar biasa dalam tempoh yang singkat berlaku di sekitar kawasan puncak Gunung Jerai, Yan, Kedah bermula sekitar jam 2.30 petang, Rabu lalu.
Ianya punca menyebabkan berlaku banjir kilat di Kuala Muda dan Daerah Yan, Kedah. – Malaysiapost