Guna kerajaan Persekutuan bukan Perikatan Nasional – Abdul Rahman

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyarankan supaya kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disebut sebagai kerajaan Persekutuan.

Ketua Umno Bahagian Tuaran itu tidak mahu kerajaan ini dipanggil sebagai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya lebih suka panggil kerajaan ini kerajaan persekutuan sahaja atau kerajaan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (His Majesty’s government),” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur di atas pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Namun, beliau meminta semua pihak tidak melabelkan kerajaan kini sebagai kerajaan PN kerana ianya sudahpun berakhir.

“Alhamdullilah Ismail Sabri telah dilantik menjadi Perdana Menteri kesembilan.

“Maka jenama Perikatan Nasional sebagai kerajaan persekutuan berakhir hari ini. Sebelum ini pun Barisan Nasional (BN) bukan ahli komponen PN,” katanya.

Jelasnya, kerajaan dulu ialah gabungan BN, PN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), bukan kerajaan di bawah PN.

“Entah siapalah yang memandai-mandai melabelkan kerajaan dulu adalah kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

Difahamkan, kenyataan Abdul Rahman ini membalas hantaran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan beliau akan terus membantu kerajaan Perikatan Nasional menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat, khususnya dalam tempoh pemulihan negara, selain memberi sokongan sepenuhnya kepada Ismail Sabri.

Kenyataan Muhyiddin dibuat selepas menerima kunjungan Ismail Sabri di kediamannya petang tadi. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights