Individu lengkap vaksin jangan salah guna kelonggaran – Dr Noor Hisham

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham mengingatkan individu yang lengkap menerima dua dos vaksin supaya tidak menyalahgunakan hak istimewa atau kelonggaran sekatan yang diberikan kerajaan.

Menerusi hantaran di Faceboonya, Dr Noor Hisham berkata, individu yang sudah menerima vaksin lengkap, perlu mempunyai disiplin yang tinggi untuk tidak menyalahgunakan hak istimewa yang diberikan.

Katanya, sekiranya rakyat tidak memanfaatkan kelonggaran yang diberikan kemungkinan negara akan menghadapi satu lagi ‘pertempuran’ dengan virus Covid-19.

“Kita perlu ingat masih ada sebahagian daripada populasi di negara ini belum divaksin. Mereka ini mudah terkena jangkitan Covid-19.

“Kita perlu memastikan kadar transmisi serendah mungkin bagi mencegah penyebaran varian atau munculnya varian baharu,” katanya dalam hantaran itu.

Beliau berkata, sekiranya masyarakat leka, segala kerja keras dan keuntungan yang dicapai di negara ini akan sia-siakan.

“Sekiranya anda disahkan positif Covid-19 atau menjadi kontak rapat kepada kes positif, pastikan menjalani pengasingan atau kuarantin dalam kadar segera supaya tidak mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan.

“InshaAllah kita berusaha dan Tawakkal. Allah SWT maha Penyayang dan melindungi kita,” katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan indvidu yang telah menerima vaksinasi lengkap bagi negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk melakukan aktiviti dine-in di restoran mulai semalam.

Kemudahan itu adalah tambahan kepada kemudahan sektor sosial selepas dipersetujui dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) kelmarin. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights