Ismail Sabri angkat sumpah Perdana Menteri ke-9

NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Ismail Sabri adalah Ahli Parlimen ketiga mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Bera berusia 61 tahun itu ditemani isteri beliau, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

Turut menyaksikan istiadat berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Pada istiadat itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah turut membacakan doa untuk kesejahteraan negara.

16 Ogos lalu, Tan Sri Muhyiddin Yasin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang menyebabkan kekosongan jawatan nombor satu tersebut.

Pada hari sama, Yang di-Pertuan Agong melantiknya sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, pada 1 Mac 2020.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 3 Ogos lalu sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Semalam, selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan, jumlah mencukupi membentuk kerajaan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights