Kebenaran pasar malam dibuka semula tepat pada waktu – peniaga

Kebenaran pasar malam dibuka semula tepat pada waktu – peniaga

Nurul Huda Abhar

GOLONGAN peniaga menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan pasar malam kembali beroperasi dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 yang diumumkan baru-baru ini.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang, Kamarul Nizam Razak, berkata operasi pasar malam di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Shah Alam akan mula beroperasi pada 23 Ogos ini.

“Mengikut kelulusan negeri dengan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT), operasi pasar malam di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mula beroperasi pada 23 Ogos ini.

“Pembaharuan prosedur operasi standard (SOP) masih lagi diperincikan oleh pihak PBT dan dijangka akan diumumkan kepada persatuan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang, Kamarul Nizam Razak

Kamarul Nizam berkata, pihaknya juga ada mencadangkan SOP yang sedia ada untuk digunapakai semula namun pertambahan prosedur berkaitan dua dos lengkap vaksinasi masih menunggu perincian Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini kerana, katanya, SOP lengkap dua dos vaksin Covid-19 yang dinyatakan oleh MKN sebelum ini adalah tertakluk bagi pengunjung pasar malam sahaja.

“Tetapi masih tidak dapat dipastikan sama ada peniaga juga mesti lengkap dua dos vaksin. Jadi kami masih menunggu SOP adakah pengunjung dan penjual harus lengkap dua dos vaksinasi.

“Itu masih belum pasti kerana perincian masih dilakukan. Cuma persatuan dimaklumkan tarikh untuk pasar malam beroperasi di bawah MBSA adalah bermula Isnin depan,” ujarnya.

Selain ‘dine in’, operasi pasar malam dan pasar minggu turut dibenarkan di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perkara tersebut dimaklumkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis lalu.

Bagaimanapun pihak penguat kuasa perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima dua dos vaksin lengkap.

Sementara itu, Kamarul Nizam berkata keputusan kerajaan untuk membenarkan pasar malam beroperasi semula adalah tepat kerana rata-rata peniaga sudah resah memikirkan perniagaan mereka.

“Alhamdulillah, peniaga semua bersyukur dengan keputusan kerajaan kerana hampir tiga bulan tidak dapat berniaga. Pendapatan memang tiada langsung selama tiga bulan.

“Macam peniaga makanan mereka boleh berniaga tepi jalan, kalau peniaga pakaian, barangan plastik memang tidak boleh berniaga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan PPN Fasa 1 dilaksanakan,” katanya lagi.

Namun begitu, katanya, apa yang paling utama adalah pengunjung dan peniaga pasar malam harus mengutamakan SOP dan keselamatan diri bagi mengelakkan tercetus jangkitan baharu kerana kes harian Covid-19 di Malaysia masih membimbangkan. – Malaysiapost

Komen