Laporan berita ‘Bersatu tolak jawatan Kabinet’ berniat jahat – Wan Saiful

KETUA Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata laporan sebuah portal berita mendakwa parti itu menolak semua jawatan dalam Kabinet adalah berniat jahat.

Beliau berkata, laporan berita berkenaan juga disifatkan berniat jahat dengan cuba memecahbelahkan parti itu selain memetik sumber yang yang tidak diketahui.

“Ini laporan palsu yang berniat jahat mahu memecahkan Bersatu.

“Saya cadangkan kepada semua supaya merujuk sumber berita yang sahih. Kandungan laporan ini adalah palsu yang sumbernya entah siapa,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu, portal berita The Malaysian Insight, melaporkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Bersatu menolak semua jawatan dalam kabinet sebagai salah satu strategi dan persediaan parti itu memenangi PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

The Malaysian Insight yang memetik sumber parti itu mendakwa, Presiden Bersatu itu mencadangkan perkara tersebut dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) yang berlangsung baru-baru ini.

Baru-baru ini, MPT Bersatu dikatakan mengadakan perbincangan mengenai isu sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya

Difahamkan, mesyuarat dipengerusikan Muhyiddin itu antara lain membincangkan perkembangan terkini politik negara

Isnin lalu, Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Perkara itu dimaklumkan beliau pada satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya, yang turut disiarkan secara langsung di pelbagai platform telekomunikasi, termasuk televisyen dan media sosial.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights