MUAFAKAT Nasional (MN) Selangor berharap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 dapat memberikan keutamaan dan tumpuan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam menghadapi pandemik Covid 19.
MN Selangor dalam kenyataan bersama, berkata perkara itu penting bagi membina ekonomi negara sehingga kehidupan rakyat dan negara dapat segera kembali normal.
“MN Selangor mengucap syukur ke hadrat Allah SWT dan menjunjung kasih pada Yang di-pertuan Agong di atas perkenan Baginda melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia ke-9.
“MN Negeri Selangor cukup yakin dan percaya dengan kemampuan dan kebolehan Ismail Sabri, lebih-lebih lagi setelah berpengalaman berkerja dengan beliau dalam tiga Pilihan Raya Kecil di negeri ini termasuklah mencatatkan kemenangan besar dalam PRK DUN Semenyih,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut kenyataan itu, MN Selangor yakin Ismail Sabri dapat mempertingkatkan lagi usaha ke arah menyatupadukan umat Melayu Islam dan penduduk berbilang bangsa khasnya di Selangor khusus bagi membawa kemenangan besar dalam PRU15 di negeri itu.
“MN Selangor akan memberikan kerjasama penuh bagi membantu Perdana Menteri dalam melaksanakan tugasnya,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan hari ini jam 2.30 petang, di lstana Negara. – Malaysiapost