SARAWAK sedang memuktamadkan persediaan bagi melaksanakan proses pemberian vaksinasi kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia adalah usaha bagi mengekang jangkitan Covid-19 dan pelaksanaan itu akan diumumkan apabila semua persiapan selesai.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), turut meminta rakyat Sarawak yang menolak atau enggan menerima suntikan vaksin agar segera mendapatkan suntikan vaksin mereka.
“Kita masih membuka pusat pemberian vaksin di seluruh negeri, mereka yang terbabit boleh menghubungi pejabat jawatankuasa bencana kawasan masing-masing.
“Selagi mereka yang berkenaan berkeras enggan divaksinasi, mereka bukan saja membahayakan diri sendiri, malah orang di sekeliling mereka juga.
“Lebih-lebih lagi ketika ini kita mengalami peningkatan kes positif serta kehadiran varian Delta yang lebih cepat berjangkit,” katanya. – Malaysiapost