Zahid ajak pemimpin, ahli Umno rapatkan saf perjuangan
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak pemimpin dan ahli parti itu kembali merapatkan saf perjuangan untuk menempuhi hari mendatang.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, perubahan yang diusahakan demi rakyat sudah dimakbulkan Allah SWT dan kini masa semua pihak memperkukuhkan parti.
“Seperti kita sedia maklum perubahan diusahakan demi rakyat dan negara telah pun dimakbulkan Allah SWT.
Kini masa untuk terus bergerak ke hadapan memperhebat dan memperkukuhkan parti. Justeru, ayuh kita kembali merapatkan saf perjuangan untuk menempuhi hari mendatang,” katanya dalam hantaran Facebook.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa Umno adalah parti politik terbesar dengan bilangan keanggotaan paling ramai di seluruh Malaysia.
“Memiliki lebih 3.3 juta ahli di 21,883 cawangan di seluruh negara. Inilah kekuatan sebenar Umno. Kekuatan ini tidak boleh sesekali tersasar dari landasan perjuangan rakyat dan negara.
“Jika begitu pasti tidak elok buat Umno yang menggalas tanggungjawab besar kepada nusa bangsa. Mari kita bersama menggembleng usaha memacu Umno ke arah kegemilangan dan kejayaan.
“Kepada Allah SWT kita berdoa memohon keberkatan selepas segala daya upaya. ‘Hanya Engkaulah yang kami sembah (kami beribadah) dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan’,” katanya.
Hari ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pelantikan itu susulan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yasin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri yang menyebabkan kekosongan jawatan nombor satu tersebut pada 16 Ogos lalu.
Semalam, selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan, jumlah mencukupi membentuk kerajaan. – Malaysiapost