JUMLAH kematian akibat Covid-19 masih mencecah tiga angka lagi hari ini dengan merekodkan 232 kes baharu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, melalui data dan infografik dikongsi di Facebook miliknya berkata, jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 kini mencecah 14,168 orang.
Selain itu, sebanyak 18,200 kes sembuh baharu direkodkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh setakat ini adalah 1,278,670 kes.
Bagi kes harian jangkitan Covid-19 hari ini dilihat menurun dua hari berturut-turut iaitu 19,807 kes berbanding 22,262 semalam dan 23,564 kelmarin, yang membabitkan 19,802 kes tempatan dan lima kes import.
Jumlah kes aktif Covid-19 adalah 262,255 di seluruh negara dan sehingga hari ini, sebanyak 1,555,093 jumlah kes keseluruhan jangkitan wabak itu.
Sementara, pesakit Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 1,026 kes dengan 496 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. – Malaysiapost