Covid-19: ADUN Tenggaroh positif, 3 lagi diarah kuarantin

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh disahkan positif Covid-19, manakala tiga lagi ADUN diarahkan menjalani kuarantin.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat, berkata pengesahan itu diperoleh selepas pengurusan DUN berkenaan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, hari ini.

Beliau berkata, semua ADUN dan wakil media yang hadir ke Bangunan Sultan Ismail bagi persidangan itu diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) setiap hari sehingga persidangan berakhir.

“ADUN Tenggaroh, K Raven disahkan positif Covid-19 Khamis lalu ketika menjalani ujian saringan.

“Tiga lagi ADUN iaitu Johor Lama, Rosleili Jahari, Tangkak, Ee Chin Li dan Senai, Tee Boon Tsong, pula diarahkan menjalani kuarantin.

“Rosleili dan Boon Tsong diarahkan menjalani kuarantin dua hari berikutan menjadi kontak rapat, manakala Chin Li pula perlu menjalani kuarantin lebih lama dan tidak dapat menyertai sesi persidangan yang berakhir Rabu ini” katanya memetik Berita Harian.

Jumaat lalu, media melaporkan semua 56 ADUN Johor diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 RTK-Antigen setiap hari ketika menghadiri Sidang DUN Johor yang bersambung semula 22 Ogos ini.

Suhaizan dilaporkan berkata, SOP itu disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan berlaku di Bangunan Sultan Ismail yang menempatkan dewan persidangan.

Sementara itu, beliau berkata, hanya dua ahli dewan tidak hadir pada sesi persidangan hari ini, namun sudah memaklumkan ketidakhadiran mereka.

“Dua ahli dewan itu adalah ADUN Gambir, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Perdana Menteri kelapan dan ADUN Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights