PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dua peralihan kerajaan dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.
Beliau berkata, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri.
“Menyorot kembali tempoh sepenggal selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum PRU-15, negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri.
“Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara,” katanya dalam ucapan sulung Perdana Menteri Menteri Ke-9, hari ini.
Justeru, Ismail Sabri mengajak semua pihak untuk meleraikan perebutan kuasa politik dan berjuang sebagai sebuah keluarga besar.
“Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik.
“Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri – dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, krisis pandemik telah memberikan kesan yang sangat serius dan menyeluruh kepada ekonomi dunia, termasuk ekonomi domestik negara kita.
Katanya, pelbagai sektor industri, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana, sangat terkesan termasuk ada yang masih bergelut dan ada yang gulung tikar.
“Bagi tujuan mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan, kerajaan ini akan menumpukan usaha ke arah mencapai dua objektif utama.
“Objektif pertama, mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna.
“Manakala objektif kedua, mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau akan memastikan tiada mana-mana rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa dan kaum tercicir atau terpinggir.
Katanya, fokus kerajaan ialah rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, rakyat yang berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik.
“Fokus ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka pendek untuk mengembalikan ekonomi rakyat khususnya dan menjana ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya. – Malaysiapost