Dua sesi suntikan vaksin tangani PPV ‘walk-in’ sesak

DUA sesi pemberian vaksin Covid-19 secara walk-in akan dilaksana di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ).

Ia susulan kehadiran pekerja asing di PPV itu yang menyebabkan berlaku kesesakan sehingga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, warga asing daripada sektor perindustrian dan pembangunan membanjiri kawasan PPV seawal jam 4 pagi.

Katanya, malah, pihaknya sudah berulang kali memberi nasihat dan teguran namun mereka gagal mematuhi SOP.

“Susulan itu, suatu tindakan drastik diambil dengan mengarahkan mereka beredar dan hadir semula pada 2 petang untuk mendapatkan vaksin.

“Ketua Pengurus PPV Stadium Nasional Bukit Jalil juga bersetuju dengan nasihat polis supaya membuat dua sesi walk-in bagi individu bukan warga negara iaitu pada sesi pagi dan juga petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam berkata, pihaknya juga menambah kekuatan untuk mengawal situasi di PPV itu berikutan tarikh mendapatkan vaksin bagi individu bukan warga negara akan berakhir pada esok.

Jelasnya, tambahan itu bagi memastikan semua petugas dan masyarakat setempat serta warga asing yang hadir merasa selamat daripada penularan wabak Covid-19 selari dengan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan ‘posting’ (hantaran) tular ini kerana bimbang akan mewujudkan kegusaran masyarakat dan hendaklah mematuhi semua peraturan,” katanya.

Terdahulu, seorang pemilik akaun TikTok yang mendakwa diarahkan untuk beredar dari kawasan PPV Stadium Nasional Bukit Jalil, Cheras, Kuala Lumpur kerana dikatakan kehabisan vaksin setelah 4 jam beratur menunggu giliran. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights