AHLI Parlimen Segambut Hannah Yeoh mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi keutamaan kepada kesejahteraan kanak-kanak.
Beliau berkata, ini kerana kanak-kanak adalah golongan terbesar serta mereka adalah masa depan dan aset besar negara.
“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, 2020, populasi kanak-kanak di Malaysia adalah hampir 30 peratus di kebanyakan negeri dengan Wilayah Persekutuan adalah tertinggi iaitu 38 peratus (hampir mencecah 40 peratus!).
“Pandemik ini telah mendedahkan dan mengesahkan akan kelemahan sistem perlindungan untuk kanak-kanak dalam negara kita. Bakul makanan yang disediakan oleh Kerajaan tidak mengandungi susu untuk bayi dan kanak-kanak kecil.
“Selepas hampir satu tahun lebih melawan Covid, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) baru menyedari keperluan untuk mengenalpasti kanak-kanak yang telah menjadi yatim piatu disebabkan Covid,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hannah berkata, semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir, tumpuan diberikan terhadap isu-isu berkaitan kanak-kanak disebabkan ketidakupayaan mereka untuk melindungi diri menyebabkan golongan itu selalu teraniaya.
Katanya, PH ketika itu di antaranya telah melantik Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang pertama dan melancarkan Sistem Semakan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak serta memperuntukkan geran bagi penubuhan Taska di Tempat Kerja di Sektor Awam.
Beliau juga menyatakan kesejahteraan kanak-kanak semakin teruk terancam ketika ‘lockdown’ berterusan.
“Jika Kerajaan Perikatan Nasional boleh memberikan kepada 32 Menteri dan 38 Timbalan Menteri satu portfolio setiap seorang, tentunya bukanlah sesuatu yang sukar untuk Ismail Sabri mewujudkan Kementerian Kanak-Kanak.
“Sudah tiba masanya Perdana Menteri Malaysia yang baharu mengutamakan isu kanak-kanak berbanding jawatan penasihat khas bertaraf menteri,” katanya. – Malaysiapost