AHLI Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang digunakan oleh Perdana Menteri merujuk kepada pemimpin dan rakyat Malaysia, merupakan pendekatan baharu dan sangat tepat pada masanya di saat krisis politik, pandemik kesihatan serta ekonomi.
Beliau turut menyifatkan ucapan sulung Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini sangat menarik kerana keinginan untuk menyatukan rakyat tidak kira bangsa, agama dan kaum untuk bersama-sama menyelesaikan kemelut wabak ini.
Menurutnya, Keluarga Malaysia menuntut kebersamaan semua pihak dalam menghadapi segala situasi.
“Keluarga Malaysia juga menuntut muafakat dan sepakat serta perpaduan semua pihak untuk saling berganding bahu ibarat dicubit peha kanan, peha kiri terasa jua.
“Dengan pengenalan dan pendekatan baharu Keluarga Malaysia, nyatalah betapa pentingnya seluruh rakyat Malaysia terus maju dan bergerak ke hadapan sebagai sebuah keluarga merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ikatan nilai kekeluargaan amat penting dalam suasana getir ketika ini untuk menjayakan agenda utama pemulihan negara.
“Jangan kita biarkan anasir-anasir jahat yang sengaja mahu merosakkan nilai ini dalam negara kita.
“Jadi, sebagai Ahli Parlimen Kuala Nerus, saya menegaskan kebersamaan dengan kerajaan yang mengutamakan kebajikan dan muafakat rakyat ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak bersatu kembali dan melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Justeru, saranan kerjasama rentas parti yang turut ditawarkan oleh beliau melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 sangat wajar disahut oleh parti pembangkang,” katanya. – Malaysiapost