Mana datangnya istilah ‘Kluster Presiden’? – Annuar
AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegur sebuah portal yang disifatkan tiada etika kerana mensensasikan tajuk berita yang tidak benar berkaitan dirinya.
Bekas Menteri Wilayah itu berkata, beliau tidak pasti portal berkenaan milik siapa dan apa agenda mereka menaikkan tajuk ‘Panas! Jangan ugut Ismail, Annuar Musa beri amaran kepada Kluster Presiden’.
Justeru, katanya, tidak bagus menambah cerita yang tidak betul kerana ia boleh merosakkan hubungan dan menjatuhkan imej seseorang itu.
“Namun saya merasakan menokok tambah pemberitaan, atau teknik mensensasikan ‘headlines’ dengan perkara yang tidak di sebut, adalah tidak baik dan tidak beretika.
“Dari mana datangnya istilah ‘kluster presiden’? Ia tidak membantu usaha merapatkan saf dalam parti. Ini bukan masa untuk melebarkan kerenggangan dalam parti,” katanya menerusi Facebook.
Jelasnya, beliau hanya mahukan Umno yang kuat dan bersatu padu, tidak pula menyebut perkara berkaitan Kluster Presiden.
“Umno yang memberi dokongan kuat kepada YAB PM yang kini memikul tanggungjawab yang sangat berat memimpin negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap penulisan begini tidak berulang dan memohon maaf kerana terpaksa menegur perkara tersebut.
“Harap maaf, saya terpaksa menegur dgn ikhlas,” katanya. – Malaysiapost