NAIB Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan isu jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) tidak dibangkitkan pada mesyuarat pimpinan parti itu, hari ini.
Beliau berkata, apa yang penting adalah Kabinet yang mahu dibentuk nanti mesti melambangkan satu pasukan untuk menyelamat dan membawa negara keluar daripada kemelut yang sedang dihadapi.
“Isu pelantikan TPM tidak dibangkitkan. Terima kasih kalau mahu bagi kepada Bersatu (jawatan TPM), tetapi yang pentingnya untuk Kabinet mahu dibentuk nanti, (ia mesti melambangkan) satu pasukan untuk menyelamatkan negara dan mahu keluar daripada kemelut yang sedang kita hadapi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mengulas mengenai pembentukan Kabinet baharu pula, beliau berkata, gabungan berkenaan menyerahkan kepada Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk menguruskan perkara itu.
Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu yakin Muhyiddin akan mengambil tindakan yang tepat berhubung perkara berkenaan.
“Pengerusi PN akan berbincang dan saya percaya pengerusi akan membuat satu keputusan yang sewajarnya,” katanya ditemui media selepas selesai mesyuarat terbabit.
Antara pemimpin yang hadir pada mesyuarat bermula jam 10 pagi itu adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung Parti Soladariti Tanah Airku (STAR), Datuk Guan Dee Koh Hoi; Ketua Pemuda PN, Ir Khairil Nizam Khirudin.
Selain itu, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Penerangan Pemuda PN, Muhammad Hilman Idham.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal juga mengesyorkan supaya jenama kerajaan ‘Perikatan Nasional’ dikekalkan, memandangkan gabungan itu masih mendominasi gabungan kerajaan ketika ini.
“Pada kami, ia adalah kerajaan PN kerana boleh dilihat secara matematiknya. Kami ada 77 (Ahli Parlimen) dan kawan sebelah (Barisan Nasional) ada 41 (Ahli Parlimen), kami percaya ia mewakili kerajaan PN,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan, PN sepakat untuk menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu.
“Kita akan bagi sokongan kepada kerajaan yang akan dibentuk oleh Ismail Sabri. Kita semua parti komponen dalam PN juga menyatakan sokongan padu kepada Muhyiddin.
“Kami sedang dan akan meneruskan usaha untuk mempersiapkan PN bagi menghadapi pilihan raya. Jentera dan kerjasama antara parti itu akan diperkukuhkan lagi,” katanya. – Malaysiapost