MUAFAKAT Nasional (MN) Selangor komited untuk menjayakan hasrat yang digariskan oleh Perdana Menteri dan menyeru seluruh rakyat khasnya di negeri itu agar terus memberi kerjasama serta menyokong usaha pemimpin.
Menurut kenyataan Pengerusi Bersama MN Selangor itu, mereka mengalu-alukan ucapan dan hasrat yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui ucapan pertamanya kepada rakyat Malaysia.
Menurutnya, ucapan Perdana Menteri itu cukup padat dan mencerminkan kepimpinan yang prihatin yang mahu melihat nasib, kebajikan rakyat dan negara diangkat, diperjuangkan dalam mengharungi ujian serta cabaran semasa terutama dalam suasana menghadapi pandemik Covid 19 ini.
“Bagi MN Selangor, komitmen untuk menerus dan memperkasakan pelan menghadapi Covid-19 dengan lebih komprehensif sebagaimana ditekankan Perdana Menteri sangat tepat dan disambut baik.
“Seruan agar semua pihak mencungkil persamaan dan tidak menggali perbezaan sebagai sebuah keluarga Malaysia yang besar membuktikan betapa Perdana Menteri sangat yakin pentingnya penyatuan dan perpaduan rakyat dalam membina sebuah negara yang aman dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, iltizam Perdana Menteri untuk memperkukuhkan asas ekonomi negara disamping mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini disambut baik MN Selangor.
“Dengan harapan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dicapai satu ketika dahulu dapat dikembalikan,” katanya.
Dalam pada itu, MN Selangor turut menggesa segala perebutan kuasa politik dileraikan demi usaha merawat dan memulihkan semula tanah air.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Pengerusi bersama MN Selangor iaitu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi. – Malaysiapost