Pegawai penyiasat mesej, buat panggilan melalui Whatsapp – Caprice

Pegawai penyiasat mesej, buat panggilan melalui Whatsapp – Caprice

PENYANYI rap, Caprice memaklumkan dia telah dihubungi pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli memaklumkan perkara tersebut menerusi hantaran terbaharu di laman Instagram awal pagi tadi.

Dalam hantaran tersebut, penyanyi itu bersyukur kerana semuanya baik-baik sahaja dan tiada fail kes jenayah dibuka terhadap dirinya berhubung perkara itu.

“Pegawai Penyiasat iaitu Inspektor dari IPD Wangsa Maju akhirnya mesej dan buat panggilan melalui WhatsApp. Sebenarnya Interpol (Polis Antarabangsa) tak cari pun Caprice.

“Media ambil di luar konteks dan tajuk berita semua buat nampak macam ada kes luar biasa sampai orang komen macam kita ini hilang atau tengah lari.

“Alhamdulillah semua okey. Tiada kes jenayah yang dibuka dan IPD Wangsa Maju hanya hendak minta kenyataan Caprice,” tulisnya.

Pelantun lagu ‘Baby Sayang’ itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana memberi keterangan yang begitu jelas dan profesional selain mengingatkan tentang keselamatan dirinya di lokasi dia berada sekarang.

Menurutnya, dia telah banyak melalui perkara yang disifatkan sebagai pelik sejak tiba di Mesir selain menerima banyak panggilan dari Kuala Lumpur yang bimbang mengenai keadaan dirinya.

Tambahnya, ini merupakan minggu ketiga dia bergerak secara solo dalam misi kemanusiaan yang dipanggil #roadtoalaqsa 2030.

“Kita pun sudah penat hendak jelaskan dekat Malaysia kita buat apa. Ini NGO (pertubuhan bukan kerajaan) tiada dana awam. Insya-Allah suatu hari nanti bila semua sudah tenang semuanya akan masuk akal,” katanya. – Malaysiapost

Komen