Penglibatan klinik swasta bantu tingkat program vaksinasi – Najib
PENGLIBATAN lebih 8,000 klinik swasta seluruh negara dapat memberi kelebihan untuk program vaksinasi negara, sekali gus mempercepatkan proses bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Ketua Pengarah Kesihatan turut mempunyai pandangan yang sama dengan beliau yang mahu memaksimumkan penglibatan klinik swasta.
“Tapi entah kenapa bayaran yang dibuat kerajaan kepada klinik swasta cuma RM14 satu dos berbanding kos yang lebih tinggi di pusat-pusat lain,” katanya menerusi Facebook.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega turut mempunyai risiko untuk ada kluster baharu iaitu berskala mega.
“Jadi, kita boleh kurangkan risiko ini dengan memaksimumkan penglibatan klinik-klinik swasta.
“Ianya juga lebih memudahkan dan menambah keselesaan sebab semua rakyat tahu di mana terletaknya klinik terdekat dan mereka sudah biasa melawat ke klinik berdekatan.
“Kapasiti maksima bagi klinik-klinik swasta yang jumlahnya lebih 8,000 buah di seluruh negara berpotensi dinaikkan ke lebih 500,000 dos sehari sekiranya lebih banyak klinik-klinik swasta menyertai program kerajaan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jika dua atau tiga orang boleh ditugaskan untuk memberi vaksin di setiap klinik, maka mereka boleh memberi sehingga 100 dos sehari.
“Justeru, 8,000 buah klinik sudah 800,000 dos sehari. Jadi, selain pusat vaksinasi kerajaan kita perlu menjadikan rangkaian klinik swasta dalam negara sebagai antara bahagian paling penting dalam strategi vaksinasi negara.
“Ini kerana kemungkinan besar bahawa mutasi-mutasi baharu Covid muncul, dan bermaksud kita perlu memberi dos-dos tambahan bagi semua pada masa depan,” katanya. – Malaysiapost