Perkasa SOP perniagaan di semua peringkat – DPPM Putrajaya

Perkasa SOP perniagaan di semua peringkat – DPPM Putrajaya

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memikul tugas berat memacu kembali pertumbuhan ekonomi ke tahap terbaik dan pastinya memerlukan sokongan penjawat awam khasnya yang berada di peringkat pengurusan.

Setiausaha Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Putrajaya, Kamarulzaman Mohamad, berkata pihak berwajib perlu merasai denyut nadi pemain industri dan bukan melihat kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang mana perlu dirungkai kembali bersesuaian dengan desakan industri demi membantu perkembangan ekonomi yang cepat.

“Sebagai contoh jika SOP sekarang memerlukan 14 hari kelulusan , maka tempoh ini perlu dipendekkan kepada satu minggu atau secepatnya. Jika ini dapat diubah, DPPM Putrajaya yakin dan percaya ianya dapat mempercepatkan proses pemulihan dan ransangan ekonomi.

“DPPM Putrajaya telah menerima rungutan dari beberapa ahli berkaitan kelewatan kelulusan permit samada permit perniagaan, permit penjaja, permit eksport dan juga permit import dari beberapa kementerian.

“Ini sudah tentu akan merugikan pihak industri yang bertungkus lumus menghidupkan ekonomi syarikat yang pada hemat DPPM Putrajaya amat tidak adil kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarulzaman berkata, pihaknya tidak mengharapkan keajaiban dalam pertukaran Perdana Menteri Malaysia yang baharu namun sudah tentu ianya merujuk kepada sesuatu yang lebih baik.

Demikian itu, katanya, DPPM Putrajaya memohon kepada kakitangan kerajaan segera menyelesaikan kemelut pemain industri dan membantu mempercepatkan kelulusan permohonan agar mereka dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.

“Bayangkan jika enam bulan permohonan tiada jawapan maka bagaimana mereka mahu merancang operasi syarikat. Kakitangan kerajaan khasnya di peringkat pengurusan hendaklah mesra industri dan sehabis baik membantu bagi mengatasi sebarang kelewatan kelulusan permohonan,” ujarnya.

Sementara itu, DPPM Putrajaya memohon kerajaan agar segera melihat permasalahan kontraktor dari Gred G1 hingga G7 yang mengeluh ketiadaan projek serta harga barang seperti simen dan besi yang semakin tinggi.

Di samping itu, Kamarulzaman berkata, proses pemilihan kontraktor perlu dipercepatkan dan kerja-kerja cabutan undi perlu dipraktikan segera agar sentiasa telus agar dapat mengelakkan dari elemen rasuah.

“Bagi kerja-kerja yang telah tamat atau hampir tamat, pihak kerajaan boleh menyambung kembali kerja-kerja tersebut tanpa perlu menender semula dan ini dapat mengelakkan banyak pergerakan dikalangan kakitangan awam di pejabat.

“Seharusnyalah penyambungan ini diberi kepada kontraktor yang menunjukkan kemampuan menyempurnakan projek tersebut,” katanya. – Malaysiapost

Komen