Pimpinan baharu kerajaan perlu ada semangat Keluarga Malaysia – Zahid

Pimpinan baharu kerajaan perlu ada semangat Keluarga Malaysia – Zahid

BARISAN pimpinan kerajaan yang baharu mesti dianggotai dalam kalangan pemimpin berkaliber dan sentiasa bersemangatkan rakyat Malaysia, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagi mencapai aspirasi Keluarga Malaysia seperti dinyatakan Perdana Menteri, Presiden Umno itu berkata maka barisan pimpinan kerajaan baharu perlu mempunyai semangat Keluarga Malaysia.

“Semoga aspirasi Keluarga Malaysia dapat direalisasi untuk membawa negara keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperkenalkan konsep “Keluarga Malaysia” bagi menyatukan rakyat tidak kira bangsa, agama dan kaum di dalam menangani pandemik Covid-19 dan ekonomi.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh Ahli Dewan Rakyat sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri atas ucapan yang membawa aspirasi Keluarga Malaysia.

Katanya, ia sebuah kerajaan baharu beraspirasi Keluarga Malaysia yang akan berusaha menangani pandemik Covid-19 sebaik mungkin.

“Berusaha sehabis baik memperbaiki keadaan ekonomi rakyat dan negara agar terkeluar dari kesuraman.

“Malah menawarkan kerjasama rentas parti politik agar semua pihak dapat berganding bahu menyelamatkan negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen