PM beri gambaran rentas negeri, capai imuniti kelompok

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberikan gambaran boleh merentas negeri jika negara mencapai imuniti kelompok.

Beliau berkata, melalui usaha berterusan kerajaan sebelum ini, kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia merupakan antara yang terpantas di seluruh dunia.

“Malaysia konsisten memberi kadar vaksinasi yang tinggi melebihi 500,000 dos sehari, bersandarkan data tersebut, maka kerajaan ini akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelumnya agar segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.

“Oleh sebab itu, kita optimis melalui kejayaan program vaksinasi ini kelak, ramai yang boleh kembali menziarahi ibu bapa di kampung halaman, meraikan perayaan dan melancong dalam negara. Anak muda boleh beriadah, pulang semula ke institusi pengajian tinggi, dan yang paling utama ialah anak-anak kita boleh kembali ke sekolah,” katanya dalam ucapan pada petang ini.

Beliau berkata, gambaran ini bukan satu angan-angan kosong kerana negara pernah berjaya menurunkan statistik pesakit Covid-19.

“Ini kerana fakta terkini pada Jumaat, 20 Ogos lalu membuktikan keberkesanan strategi lalu apabila statistik kes harian Wilayah Persekutuan Labuan yang sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa, telah menurun secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturut-turut.

“Namun ini bukan bermakna kita semua akan bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19, tetapi apabila kita mencapai imuniti kelompok, virus ini tidak lagi menjadi ancaman sepertimana yang ditakuti sekarang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, mengambil kira situasi getir pandemik Covid-19 dunia, orang ramai mengetahui bahawa varian wabak ini sentiasa berevolusi, bermula daripada varian Alpha kepada Beta dan yang terkini ialah varian Lambda.

“Oleh itu, strategi yang telah dirangka kerajaan sebelum ini akan diteruskan dan diperkasakan serta ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar kesihatan awam negara.

“Saya akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 dilakukan secara lebih komprehensif,” katanya.

Tambahnya, ia bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil.

“Justeru, demi mencapai sasaran tersebut lebih awal, kerajaan akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebatkan.

“Demi memangkin pencapaian seperti di Labuan, pembelian tambahan sejumlah 6 juta dos vaksin lagi yang akan diterima menjelang awal September 2021, sebagai satu berita baik kepada semua bersempena Bulan Kemerdekaan ini,” katanya. – Malaysiapost.

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights