PM perkenalkan konsep Keluarga Malaysia, satukan rakyat

PM perkenalkan konsep Keluarga Malaysia, satukan rakyat

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperkenalkan konsep “Keluarga Malaysia” bagi menyatukan rakyat tidak kira bangsa, agama dan kaum di dalam menangani pandemik Covid-19 dan ekonomi.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.

“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia.

“Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum.

“Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua,” katanya dalam ucapan sulung Perdana Menteri Ke-9, hari ini.

Jelasnya, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi beliau keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga. – Malaysiapost

Komen