PERDANA Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-9.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Hsien Loong, berkata dengan pengalaman luas Ismail Sabri dalam perkhidmatan awam dan kerajaan, beliau yakin hubungan antara Singapura dan Malaysia dapat diperluaskan lagi.
Katanya, beliau menghubungi Ismail Sabri hari ini untuk mengucapkan tahniah di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
“Saya menjemput Ismail Sabri untuk berkunjung ke Singapura. Saya tidak sabar untuk bertemu dengannya untuk membincangkan bagaimana kita boleh saling bekerjasama untuk menjalin persahabatan lebih jauh, dan memperluaskan lagi kerjasama,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia dan Singapura menikmati hubungan yang baik dalam pelbagai aspek.
“Kami memiliki banyak kepentingan bersama dan rakyat kami mempunyai talian kekeluargaan di kedua-dua negara,” katanya.
Semalam, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 2.30 petang. – Malaysiapost