PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Perkara itu dinyatakakan dalam ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri Ke-9 hari ini, yang antara lain meminta semua pihak bergerak ke hadapan demi negara dan rakyat.
“Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik.
“Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri – dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini,” katanya dalam ucapan berkenaan.
Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan.
“Saya faham, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan termasuk termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti.
“Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, kerajaannya akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.
“Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan.
“Hasrat ini hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara,” katanya.
Ahli Parlimen Bera itu mengajak semua pihak bersama-sama sebagai Keluarga Malaysia mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu.
“Saya membulat tekad, bekerja bersama rakyat!” katanya. – Malaysiapost