PN perkukuh kerjasama politik hadapi PRU15 – Muhyiddin
PERIKATAN Nasional (PN) komited untuk menyokong dasar dan perancangan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan negara.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti (PN) hari ini, yang turut membincangkan secara mendalam senario politik semasa negara.
“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Perikatan Nasional pagi tadi dengan kebenaran Majlis Keselamatan Negara.
“Parti PN yang didukung 50 Ahli Dewan Rakyat bersama 3 Ahli Dewan Rakyat bebas akan terus bersama, bersatu padu dan komited untuk menyokong dasar dan perancangan Kerajaan PN menjayakan pelan pemulihan negara, mengutamakan kebajikan rakyat dan menjamin kelangsungan negara,” katanya menerusi Facebook.
Muhyiddin berkata, selain itu mesyuarat berkenaan turut mendengar serta mengambil maklum semua pandangan dari parti-parti komponen bagi memperkukuhkan kerjasama politik dan membuat persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mesyuarat itu dihadiri semua ahli Majlis Tertinggi PN termasuk presiden parti komponen iaitu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau.
Turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli MPT Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Selain itu, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. – Malaysiapost