PPV sekolah mudahkan lagi akses rakyat dapatkan vaksin

PPV sekolah mudahkan lagi akses rakyat dapatkan vaksin

PENGGUNAAN fasiliti pendidikan seperti sekolah sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) memudahkan lagi akses rakyat Malaysia untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia kerana orang ramai tidak perlu mengatur perjalanan yang jauh kerana PPV itu berdekatan dengan kawasan perumahan setempat.

“Disamping itu, terdapat juga sekolah yang mempunyai kemudahan akses yang lengkap agar golongan tua dan orang kurang upaya boleh mendapatkan vaksin Covid-19 dengan mudah dan selesa seperti tanjakan kerusi roda untuk penerima yang mempunyai masalah mobiliti.

“Justeru, saya mengucapkan tahniah kepada pelbagai pihak terutamanya sukarelawan dan pihak pengurusan sekolah membantu menjayakan program ini,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut berkongsikan lawatan kerjanya di Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPVB) HCTM UKM di Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar 2 dan PPVB Dewan KRS, Taman Warisan Puteri, Seremban, Negeri Sembilan.

Menurutnya, PPVB itu diwujudkan hasil kerjasama antara Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan badan bukan kerajaan (NGO) setempat.

“Program ini mensasarkan pemberian vaksin dos kedua sebanyak 2,000 dos kepada penduduk di sekitarnya.

“Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datin Dr Harlina Abdul Rashid mengunjurkan liputan vaksinasi lengkap penduduk dewasa di negeri ini bakal mencapai sehingga 80 peratus di ambang sambutan Hari Kemerdekaan pada hujung bulan ini.

“Justeru, saya amat bersyukur dengan penglibatan anggota-anggota kesihatan, agensi-agensi kerajaan serta sukarelawan badan bukan kerajaan dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tanpa mengira penat lelah dan juga mengorbankan masa untuk berehat waima ketika cuti hujung minggu,” katanya. – Malaysiapost

Komen