Selepas ibu, adik Elyana pula positif Covid-19

Selepas ibu, adik Elyana pula positif Covid-19

DUGAAN berat buat penyanyi, Elyana, 34, apabila adiknya lelaki Eizad Ezmeer Emrizal pula disahkan positif Covid-19. 

Berita sedih itu diterima kurang seminggu selepas ibunya Shamsidar Alias turut positif wabak berkenaan.

Pelantun lagu ‘Kalis Rindu’ itu menerusi hantaran di Instagram (IG) semalam, memohon orang ramai mendoakan kesihatan ibu dan adiknya agar cepat pulih dari virus berkenaan.

“Belum lagi mama saya sembuh, hari ini adik lelaki kesayangan saya pula disahkan positif Covid-19.

 “Minta sangat rakan-rakan semua mendoakan kesembuhan adik saya, Eizad Ezmeer Emrizal dan mama Shamsidar Alias,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Elyana turut melahirkan kerisauan terhadap bapanya sekiranya turut dijangkiti virus berbahaya itu.

“Semoga papa saya yang tinggal serumah dengan mereka tidak dijangkiti. Saya risau sebab papa baru dapat satu dos vaksin.

“Lindungi kami Ya Allah, sesungguhnya engkau la Maha Penyembuh, Ain Ya Rabbalalamin,” tulisnya.

Sebelum ini, Elyana melahirkan perasaan syukur apabila hanya ibunya yang positif Covid-19 manakala bapa dan adik lelaki sebelum ini dilaporkan negatif.

Elyana kini menghidap kanser limfoma tahap empat sejak 2012 dan pada Jun lalu dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan radioterapi sebanyak 10 sesi.

Rawatan itu susulan kanser limfoma yang dihidapi sudah merebak ke dada, paru-paru, belakang rahim, usus dan beberapa bahagian badan yang lain. – Malaysiapost

Komen