Selepas PM angkat sumpah, masih perlukah undi tidak percaya?

Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff 

PADA 18 0gos Yang di-Pertuan Agong bertitah: “Perdana Menteri dilantik hendaklah secepat mungkin kemuka usul percaya, tentukan keabsahan di Dewan Rakyat.”

Tiba-tiba setelah PM mengangkat sumpah, ada pula pandangan yang menyatakan “Tidak perlu undi percaya, keabsahan PM diperakui ketika angkat sumpah.” Pandangan ini memerlukan ulasan.

Betul, perlembagaan tidak menyebut secara khusus mengenai keperluan usul undi tidak percaya.  Perkara 43(4) hanya memperuntukkan: “Jika PM tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka PM hendaklah meletakkan jawatan. Melainkan jika atas permintaannya, DR dibubarkan oleh YDPA.”

Peruntukan di atas hanya menyatakan “jika PM tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat,” tetapi proses bagaimana majoriti itu ditentukan tidak dinyatakan. Inilah yang tidak jelas itu.

Walaupun perlembagaan tidak menyatakan dengan jelas cara hilang majoriti, secara umumnya ia boleh berlaku dengan empat cara berikut: undi tidak percaya di lantai Dewan, tewas dalam undi dasar penting seperti bajet, lompat parti, dan gagal dalam bacaan kedua dan ketiga rang undang-undang.

Dewan Rakyat juga tidak menetapkan peraturan yang jelas tentang usul undi tidak percaya ini.  DR cuma mempunyai Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 15(1) yang menyatakan urusan kerajaan harus diberi keutamaan. 

Peraturan inilah yang menyebabkan usul undi tidak percaya sukar dibentangkan kerana memberi keutamaan kepada urusan kerajaan. 

Ini berbeza dengan amalannya di Britain.  Parliament Act 2011 menyatakan apabila “… a motion moved in the House of Commons with the wording: ‘That this House has no confidence in HM Government,” maka undi terhadap usul itu perlulah disegerakan: “a motion of confidence should take precedence over other motions.”

Kita beralih kepada tujuan utama tulisan ini, setelah PM dilantik, masih perlukah undi percaya di Dewan? Jawapannya perlu.

i. Pelantikan ini datang pada waktu keperluan memiliki sebuah kerajaan yang stabil.  Oleh itu, undi tidak percaya penting untuk mengukuhkan keabsahan dan legitimasi kerajaan.  Apabila legitimasi kerajaan telah diuji di lantai Dewan, kerajaan tidak lagi diganggu dan ini asas kepada kestabilan yang negara perlukan.

ii. Nilai-nilai demokrasi Westminster menunjukkan undi tidak percaya mampu mengelakkan krisis politik. 

iii. Undi ini dapat mengelakkan kerajaan yang lemah menggunakan kuasanya sebagai aparatus politik untuk kekal berkuasa. 

Oleh itu, untuk keabsahan, kestabilan, keyakinan rakyat dan negara luar, usul undi tidak percaya ini perlu. Inilah prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang sebenar.

Perdana Menteri, mulakan tindakan pertama dengan langkah yang betul.  Adalah perlu usul ini dibentangkan pada 6 September apabila parlimen bersidang nanti. 

Penulis adalah penganalisis politik dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan ia tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights