“Thank you Ni, sebab sentiasa ada di sisi Sabri”

Nurul Huda Abhar

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin adalah individu yang sentiasa berada di sisinya sejak beliau mula menceburi bidang politik pada tahun 1986.

Beliau yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri ke-9 semalam, berkata isterinya adalah seorang yang sederhana dan tidak mahu berada dalam tumpuan.

“Isteri saya orang yang sentiasa ada di sisi saya sejak berkawan dengan dia dari saya berumur 19 tahun. Saya menyertai politik pada tahun 1986, pada umur 26 tahun dan waktu tu kami baru saja mendirikan rumah tangga.

“Nani adalah seorang yang sangat ‘simple’ dan sentiasa tak mahu berada di bawah ‘spotlight’, sebab tu jarang sangat nampak dia,” katanya dalam hantaran di Facebook, pagi ini.

Ahli Parlimen Bera itu turut mengucapkan terima kasih kepada isteri tersayang yang menyokong perjalanan karier politiknya sejak dari dahulu sehingga bergelar Perdana Menteri.

“Thank you (terima kasih) Ni, sebab sentiasa ada di sisi Sabri. Daripada Sabri tak ada apa-apa sehingga lah ke hari ni. Susah senang bersama,” ujarnya.

Sejak semalam, penampilan Muhaini mendapat perhatian ramai di mana rata-rata mereka berkata baharu pertama kali melihat wanita yang menjadi tulang belakang kepada Naib Presiden Umno itu kerana sebelum ini isterinya jarang mencuri tumpuan media.

Terdahulu, Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, petang semalam.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights