Ucapan pertama PM petang ini

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dillaporkan akan menyampaikan perutusan pertamanya kepada rakyat Malaysia pada jam 5.30 petang ini.

Ia adalah perutusan pertama beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-9 semalam.

Ucapan Perdana Menteri itu akan disiarkan secara langsung di televisyen melalui media rasmi.

Terdahulu, media melaprokan Ismail Sabri tiba di Pejabat Perdana Menteri, di bangunan Perdana Putra, Putrajaya sekitar jam 10.55 pagi tadi.

Beliau memasuki pejabat kali pertama sejak menjawat jawatan itu sebagai persediaan untuk menyampaikan perutusan berkenaan.

Perdana Menteri sebelum itu bertolak dari kediamannya di Tropicana Golf and Country Resort di Petaling Jaya.

Semalam, Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan peletakan jawatan Muhyiddin hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Pada 18 Ogos lalu, Istana Negara menerima pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli Parlimen, masing-masing menerusi surat akuan (SD).

Mengikut SD berkenaan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri, sekali gus memperoleh jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, Seri Paduka berkenan menerima menghadap 114 Ahli Parlimen kelmarin untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang dicalonkan sebagai Perdana Menteri kesembilan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights