Azalina sah letak jawatan Timbalan Speaker

AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau menerusi kenyataan memaklumkan berharap pengundurannya dari jawatan tersebut dapat memberi ‘reset’ pada persidangan Dewan Rakyat.

“Dengan pelantikan perdana menteri baru dan tuntutan orang ramai yang kuat dan jelas untuk kerjasama pelbagai parti, saya mengundurkan diri hari ini untuk mengosongkan kerusi saya.

“(Ini) agar kerajaan dan pembangkang memiliki lebih banyak ruang untuk ‘reset’ Dewan Rakyat kita sehingga Dewan pada Ogos ini dapat benar-benar berfungsi sebagai forum persaingan yang profesional dan kerjasama antara parti mengenai dasar dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Azalina berkata, berdasarkan apa yang berlaku sejak 17 bulan lalu membolehkannya merenung kekurangan institusi Parlimen dan akan menyokong segala usaha pembaharuan institusi berkenaan.

Pengumuman peletakan jawatan sebagai Timbalan Speaker itu susulan penubuhan kerajaan baharu selepas Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon dilantik sebagai Perdana Menteri.

Azalina adalah antara 15 Ahli Parlimen Umno yang menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau adalah wanita pertama yang diangkat sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat di bawah kerajaan PN sejurus mengambil alih pentadbiran negara daripada Pakatan Harapan (PH), Mac tahun lalu

Terdahulu hari ini, Perdana Menteri berkata beliau akan mengumumkan barisan Kabinet minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights