Baru Bian nafi dakwa Azmin ugut tarik sokongan

AHLI Parlimen Selangau, Baru Bian menafikan beliau telah membuat kenyataan bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri sekiranya tidak dilantik jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Malah, Baru Bian juga menafikan kenyataan berhubung Mohamed Azmin bersama 10 lagi Ahli Parlimen menggugut untuk menarik sokongan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika tuntutan mereka tidak diendahkan.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya membuat pendedahan bahawa Azmin Ali akan membawa 10 MP keluar sekiranya tidak diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Saya juga ingin menegaskan sekali lagi saya bukan sebahagian daripada team Azmin Ali,” kata Ahli Parti Bersatu Sarawak (PBS) itu di Facebook, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial poster bergambar memaparkan Baru mendakwa Mohamed Azmin bersama 10 Ahli Parlimen bakal meninggalkan Perikatan Nasional (PN) jika tidak melantik bekas Timbalan Presiden PKR itu sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Meskipun suhu politik negara agak reda susulan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri oleh Yang di Pertuan Agong, Jumaat lalu, namun spekulasi siapakah yang bakal memegang jawatan nombor dua hangat diperkatakan.

Ismail Sabri dilantik Perdana Menteri setelah memperolehi majoriti rapuh iaitu 114 sokongan Ahli Dewan Rakyat daripada Barisan Nasional, PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights