Bukan masa bersenang-lenang – Pengarah Labuan
KES harian Covid-19 di Labuan yang berkurangan bukanlah isyarat untuk semua pihak bersenang-lenang, kata Pengarah Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari.
Sebaliknya beliau berkata ini adalah masa untuk memperkukuhkan pendidikan kesihatan, selain memperomosikan kesihatan terutama di kawasan yang masih banyak kes aktif Covid-19.
“Alhamdulillah… kurang kes bukan masa untuk bersenang-lenang tetapi masa untuk memperkukuhkan pendidikan dan promosi kesihatan terutama kawasan yang masih banyak kes.
“Menyantuni warga komuniti untuk bersama mereka, berbincang dan memberikan khidmat nasihat, pendidikan kesihatan untuk memperkasakan komuniti.
“Juga mempromosikan program Rumah Bebas Covid-19 untuk Labuan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Dalam tempoh kira-kira seminggu, Labuan dua kali mencatatkan kes sifar dan sepanjang tempoh itu juga jangkitan harian berada di bawah angka 10. – Malaysiapost
Foto Kredit: Facebook Ismuni Bohari