SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin untuk melindungi diri, keluarga serta masyarakat.
Titah Sultan Johor, pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan Covid-19.
“Guru-guru patut jadi contoh dan melindungi anak murid, bukannya membahayakan mereka, apatah lagi sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi. Saya dan keluarga juga sudah lengkap mengambil dua dos vaksin.
“Jangan mudah terpengaruh dengan golongan anti vaksin sebagaimana saya tegaskan sebelum ini. Percayalah pakar perubatan kita yang bertauliah.
“Mereka yang menolak vaksin tanpa sebab sahih seolah-olah merelakan diri dijangkiti,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini.
Baginda bertitah demikian sebagai mengulas laporan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19.
Sultan Johor seterusnya berharap semua rakyat negeri itu dapat suntikan vaksin dengan segera, supaya boleh kembali bekerja, berniaga dan menjalani kehidupan seperti biasa.
Semalam Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata Jabatan Pendidikan Negeri akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan. – Malaysiapost