‘Harap prestasi Ismail Sabri lebih baik daripada Muhyiddin’ – Kadir Jasin

“KITA hanya boleh berharap kerajaan baru pimpinan Naib Presiden Umno ini lebih baik dan diyakini daripada kerajaan yang diterajui oleh Bersatu selama 17 bulan sebelum ini,” kata Wartawan Veteran, Datuk A Kadir Jasin.

Beliau berkata, tiada perbezaan ketara yang bakal ditonjolkan oleh Perdana Menteri yang baharu dilantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, namun berharap ia lebih baik daripada Perdana Menteri sebelum ini.

“Tahun lalu, di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), hutang kerajaan meningkat kepada 60.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 53 peratus pada 2019. Hutang kerajaan Indonesia pula hanya 38.50 peratus daripada KDNK.

“Walaupun Ketua Kerajaan telah berubah tapi dasar berhutang secara besar-besaran ini mungkin berterusan.

“Dulu kita dengar Indonesia hidup dengan berhutang, termasuk daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), tetapi sekarang Malaysia yang lebih banyak berhutang berbanding Indonesia,” katanya di Facebook, hari ini.

Ismail Sabri yang baru dua hari menjadi Perdana Menteri telah dihakimi oleh bekas Ketua Pengarang NST itu yang menyifatkan ketokohan Ismail Sabri dengan Presiden Indonesia Joko Widodo jauh tertinggal di belakang.

“Di segi pemerintahan pula maaf cakaplah kalau saya kata bekas Perdana Menteri Malaysia Mahiaddin (Muhyiddin) Md Yasin dan penggantinya, Ismail Sabri Yaakob bukanlah bandingan bagi Presiden Indonesia Joko Widodo.

“Manakala bekas Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bukanlah bandingan kepada Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati,” katanya.

Mengulas lanjut, Kadir Jasin berkata, bon ringgit telah ditinggalkan di belakang oleh bon rupiah ketika ini.

Katanya, berdasarkan analisis Bloomberg, kemerosatan nilai bon ringgit adalah kerana unjuran fiskal kerajaan Malaysia yang semakin buruk dan ditambah pula oleh ketidaktentuan politik.

“Maksudnya, pinjaman yang dibuat melalui surat jaminan rupiah lebih dihargai oleh pelabur berbanding surat jaminan ringgit.

“Untuk lebih mudah faham, kita bandingkan ringgit dengan rupiah. Pada 17 Ogos 2018, kalau kita tukar satu ringgit kita dapat 3,551 rupiah tapi pada 1 Ogos tahun lalu kita dapat 3,540 rupiah dan pada 12 Ogos lepas, kita dapat 3,404 saja. Ertinya nilai duit kita jatuh berbanding rupiah.

“Selain pemerintahan yang kurang stabil akibat krisis politik, penarafan bon Malaysia juga merosot kerana kerajaan Malaysia berhutang lebih besar daripada Indonesia sejak beberapa tahun terakhir ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights