Ismail Sabri dijangka umum barisan Kabinet esok

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka membentuk Kabinet yang lebih ‘langsing’ dan memastikan jemaah menteri dapat menunjukkan imej kerajaan yang berintegriti.

Jemaah Menteri dijangka diperkecilkan dengan kementerian tertentu akan digabungkan, lapor MalaysiaGazette yang memetik Sinchew Daily.

Menurut akhbar itu, Ismail Sabri telah mula mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti untuk mengumpulkan cadangan calon yang dikemukakan.

Sumber berkata, senarai nama menteri dijangka diumumkan selewat-lewatnya Selasa supaya mesyuarat Kabinet pertama dapat diadakan pada Rabu.

Perebutan untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) pula hangat dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu setiausaha agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi diberi jawatan itu.

Walaupun Umno dilaporkan sudi memberi laluan kepada Bersatu, tetapi masih terdapat suara berlainan dalam parti yang mahu Umno turut diberi jawatan TPM.

Calon daripada Bersatu pula tertumpu kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Walaupun Kabinet akan diperkecilkan, tetapi setakat ini belum tahu sama ada akan diwujudkan dua jawatan TPM untuk mengimbangkan kuasa pelbagai pihak,” kata sumber.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika dihubungi Sinchew Daily enggan mengulas tentang ura-ura pembentukan Kabinet baharu.

Sabtu lalu, Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara sebentar tadi.

Pelantikan itu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen, dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Pada 18 Ogos lalu, Istana Negara menerima pencalonan nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli Parlimen, masing-masing menerusi surat akuan.

Mengikut surat akuan berkenaan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan Ismail Sabri, sekali gus memperoleh jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights