Ismail Sabri perlu buang ‘badi Sheraton’ – Mujahid

Ismail Sabri perlu buang ‘badi Sheraton’ – Mujahid

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa segera membuang ‘badi Sheraton’ dengan mengambil lima langkah drastik pembaharuan dalam pentadbiran kerajaannya.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata lima langkah itu wajar dilaksanakan Perdana Menteri Ke-9 itu sekurang-kurangnya sehingga pembubaran wajib Parlimen pada 2023.

“Antaranya, usaha pulihkan demokrasi dengan perbanyakan jawatankuasa pilihan Parlimen rentas parti tertumpu kepada MPN supaya adanya semak-imbang lebih berkesan dan idea yang disatukan atas kepentingan negara semasa krisis.

“Memberi keyakinan rakyat dengan memperkenalkan akta anti-lompat parti melibatkan jawatankuasa semua pihak sebelum ia dibentang di parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, Ismail Sabri juga perlu meyakinkan rakyat terhadap komitmen membela rakyat dengan suntikan dana RM 50 B dan meningkatkan had ambang tahap keberhutangan negara untuk tujuan tersebut.

“Memperkecilkan saiz kabinet supaya lebih fokus mengendalikan implikasi covid kepada kesihatan awam, ekonomi, pendidikan dan kebajikan rakyat.

“Mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi politik dan pemerintahan melalui penguatkuasaan adil, lawan rasuah, layanan adil semua MP yang mewakili mandat pengundi masing-masing dan mengamalkan ketelusan,” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata kegagalan Ismail Sabri mempamerkan iltizam ke arah lima perubahan itu akan meletakkan beliau kepada label ‘PM kitar-semula’.

Malah, Mujahid berkata, Ismail Sabri juga perlu menghindari dari tekanan politik 114 Ahli Parlimen dan blok yang menyokongnya untuk menuntut habuan masing-masing.

“114 bukanlah bilangan yang menjaminkan kestabilan. Namun apa yang berlaku ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh hari membuktikan seramai 15 MP Umno telah mempolitikkan hubungan tegang Umno-Bersatu sehingga membawa kepada lahirnya kerajaan kitar semula hari ini.

“Bagi 105 MP yang tidak menyokong DSIS, mereka meletakkan komitment sedari awal lagi untuk memelihara demokrasi, menjunjung perlembagaan dan menumpukan kepada kendalian krisis Covid 19 supaya negara dan rakyat dapat didahulukan,” katanya. – Malaysiapost

Komen