Ku Li gesa undi percaya dilakukan segera

AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar undi percaya terhadap Perdana Menteri yang baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dibuat segera untuk memastikan Ahli Parlimen Bera itu mempunyai sokongan majoriti.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li berpendapat, ia untuk membolehkan Perdana Menteri mentadbir tanpa sebarang gangguan oleh mana-mana pihak selepas ini.

Beliau tidak bersetuju dengan pandangan mengatakan Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk memberi pengesahan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam hal pelantikan Perdana Menteri.

“Susah hendak terima pandangan ini oleh sebab angkat sumpah jawatan Perdana Menteri, walaupun merupakan perkenan Agong untuk satu ketika.

“Sekiranya pengundian berlaku percaya atau tidak percaya dua atau tiga minggu selepas angkat sumpah dalam keadaan di mana sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan sudah berubah dan telah mengalami kekalahan, jelas sekali Perdana Menteri dan Kabinet itu mesti berundur kerana sudah ditolak oleh Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau mengulas pandangan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz yang berpendapat undi percaya bukan untuk memberikan pengesahan kepada perkenan Agong.

Mengulas lanjut, Ku Li berkata, keabsahan perlu dibuat segera bagi mengelak sebarang masalah timbul di kemudian hari.

“Untuk memastikan keabsahan dan Perdana Menteri dapat ‘move on’ tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak lagi selepas itu.

“Sebagaimana yang diarahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam surat rasmi dikeluarkan pihak Istana Negara sebelum pelantikan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Dr Shamrahayu berpandangan tiada peruntukan dalam Perlembagaan tentang undi percaya dan ia amalan atau adat Perlembagaan yang tidak mengikat sehinggalah ia menjadi suatu undang-undang dengan cara dikanunkan atau diiktiraf oleh mahkamah.

Menurutnya, pelantikan Perdana Menteri adalah sah setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, seterusnya berlaku upacara menandatangani suratcara pelantikan, sumpah taat setia dan sumpah simpan rahsia yang kemudiannya lantikan tersebut hendaklah diwartakan.

Beliau berkata, sekiranya Tuanku titah untuk diadakan undi percaya, itu bagi tujuan mengukuhkan kedudukan seorang Perdana Menteri, atau sesebuah kerjaan, bukan untuk memberi pengesahan kepada perkenan yang telah diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights