Mampukah PM9 wujudkan konsensus nasional? – Kit Siang

VETERAN DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan kemampuan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mewujudkan konsensus nasional mengenai cabaran dihadapi Malaysia dalam tempoh 12 hingga 18 bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, saranan Perdana Menteri agar semua rakyat bersatu sebagai sebuah ‘Keluarga Malaysia’ adalah baik, namun, seperti kata pepatah inggeris, ‘the proof of the pudding is in the eating’.

Katanya, cabaran pertama Ismail Sabri adalah negara harus menang perang melawan pandemik Covid-19.

“Meskipun kes harian baharu semalam direkodkan di bawah paras 20,000 iaitu 19,807 kes dengan 232 kematian, angka itu tetap dilihat tidak masuk akal.

“Kerana ketika darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021 kita merekodkan 2,232 kes baharu dan empat kes kematian dengan jumlah keseluruhan 138,224 kes dan kes kematian terkumpul sebanyak 555.

“Kini, kita mempunyai jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 1,555,093 dan 14,186 kes kematian terkumpul. Kita bakal mencipta tiga rekod buruk menjelang Hari Kebangsaan ke-64 yang akan tiba lapan hari lagi pada 31 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpendapat agak mustahil dasar baharu dan pendekatan serta strategi ‘keseluruhan masyarakat’ dalam perang melawan wabak Covid-19 dapat dilaksanakan jika reformasi institusi dan Parlimen serta perubahan dasar tidak turut dilaksanakan.

Menurutnya, krisis politik membelenggu negara hanya boleh diselesaikan dengan semua pihak kembali berpegang kepada prinsip asas pembinaan negara.

“Ia seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, raja berperlembagaan berdasarkan demokrasi berparlimen, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik dan melindungi hak asasi manusia,” katanya.

Beliau berkata, negara harus kembali ke keadaan normal sebelum dapat bergerak ke peringkat seterusnya dalam usaha memenuhi aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman untuk negara menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu”.

“Namun, sebelum kita boleh menjadi “sinar cahaya” kepada dunia, kita harus mencapai status negara hebat berkelas dunia dan tidak berada dalam trajektori negara gagal.

“Mampukah Perdana Menteri baharu membina konsensus seumpama itu dan mengembalikan keyakinan dan harapan di kalangan rakyat Malaysia terhadap masa depan negara ini?” soalnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights